Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Luluh hati seorang bapa di Palestin apabila kegembiraan menyambut kelahiran bayi kembarnya hanya bertahan selama empat hari selepas kehilangan seisi keluarga kecilnya.
Lebih menyedihkan si bapa, Mohammed Abu al-Qumsan, pada waktu itu sedan berada di sebuah pejabat kerajaan untuk mendaftarkan kelahiran anak kembarnya itu yang baru dilahirkan pada 10 Ogos.
Ketika di sana, dia telah menerima panggilan telefon dari jiran tetangga dan dimaklumkan serangan udara oleh rejim Israel telah menyasarkan rumah sementaranya di Deir al-Balah, Gaza.
Isteri, 2 Bayi & Ibu Mertua Terkorban
Serangan tersebut mengorbankan isterinya, Jumana Farid Abu Al-Qomsan, bersama bayi kembar iaitu Asser (lelaki) dan kembar perempuannya Ayssel yang baru sahaja berusia empat hari. Turut sama-sama terkorban ialah ibu mertua Mohammed Abu.
Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya diberitahu rumah telah diserang dengan bom. Saya tidak sempat pun meraikan mereka.
Mohammed Abu al-Qumsan
Anak-beranak itu merupakan sebahagian daripada 16 mangsa yang syahid dalam serangan udara tentera Israel di Gaza pagi semalam (13 Ogos).
Tular Video Bapa Pulang Dengan Memegang Sijil Kelahiran Si Kembar
Video yang tular di media sosial menyaksikan Mohammed Abu menangis tanpa henti sambil memegang sijil lahir anaknya sebelum diambil oleh seseorang.
Kelihatan beberapa individu cuba menenangkannya sebelum dia jatuh pitam.
Satu rakaman video lain menunjukkan dia sedang bersembahyang jenazah buat ahli keluarganya yang telah syahid.
Ibu Umumkan Kelahiran Bayi Di Media Sosial
Media Palestin melaporkan bahawa keluarga itu telah dipindahkan dari utara Gaza dan berlindung di bahagian selatan susulan serangan oleh tentera Israel.
Jumana yang merupakan seorang ahli farmasi telah melahirkan anak secara pembedahan Caesarean.
Dia baru sahaja memuat naik hantaran di Facebook pada 10 Ogos lalu bagi mengumumkan ketibaan pasangan anak kembarnya itu.
Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata sahabatnya telah mengucapkan tahniah dan bersyukur ke atas keselamatannya ketika itu.
Namun kini beberapa individu telah tampil membawa berita kematiannya. Ada yang berkata dia baru sahaja bercakap dengan Jumana sehari sebelum wanita itu syahid.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.