Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Masjidil Haram, tempat terletaknya Kaabah, merupakan kiblat bagi umat Islam. Setiap kali menunaikan solat, badan akan dihadapkan ke arah tersebut.
Namun, ada juga penganut agama lain yang bertanyakan jika Kaabah tersebut seperti berhala.
Kiblat Solat Ke Arah Masjidil Haram
Seorang lelaki mualaf, Ahmad Adam, telah menerima komen daripada seorang pengikutnya di TikTok yang mengaitkan Kaabah yang digelar sebagai ‘rumah hitam’ dengan berhala.
Dia kemudiannya menjelaskan perkara itu dan menerangkan bahawa ‘menghadap kiblat’ pada asalnya disebut menghadap ke Majidil Haram seperti firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.”
Surah Al-Baqarah (150)
Namun, Adam berkata tidak salah untuk mengatakan kiblat menghadap ke arah Kaabah memandangkan ia berada di tengah-tengah Masjidil Haram dan menjadi penunjuk arah bagi mereka yang di dalam masjid itu.
Kaabah Tidak Dianggap Sebagai Tuhan
Dia juga menerangkan definisi berhala iaitu patung atau imej yang dianggap sebagai tuhan atau wakil tuhan untuk disembah. Ini jelas berbeza dengan Kaabah yang tidak dianggap sebagai wakil tuhan sama sekali.
Dia mengambil contoh ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan apabila mengadakan program berkaitan Haji dan Umrah di mana sebuah model Kaabah dibina.
Walaupun terdapat model Kaabah berdekatan, namun umat Islam masih solat menghadap ke tanah suci Mekah yang terletaknya Masjidil Haram. Sebaliknya bagi berhala, sudah tentu arah sembahan akan berubah.
Kaabah Ada Dipijak Untuk Menukar Kainnya
Di samping itu, Adam menerangkan bahawa kain yang menutupi Kaabah atau kiswah, akan sentiasa ditukar. Katanya, ketika proses tersebut berlangsung, terdapat pekerja yang akan memijak dan memanjat Kaabah untuk menukar kiswahnya.
Malah, ketika zaman Rasulullah SAW, Bilal bin Rabah telah memanjat naik ke atas Kaabah untuk melaungkan azan.
Adam berkata suatu berhala tidak akan dipijak atau dipanjat untuk naik ke atasnya.
Imej Kaabah Di Sejadah Dipijak & Dilangkah
Selain itu, Adam juga menerangkan tentang penggunaan sejadah untuk solat yang mempunyai gambar Kaabah di atasnya. Perlu diingat bahawa gambar tersebut hanyalah hiasan.
Dia berkata imej Kaabah itu selalu dipijak atau dilangkah walaupun tanpa sengaja. Berbanding dengan berhala, penganut suatu agama pasti tidak akan sanggup memijak mahupun melangkah gambarnya yang terletak di atas lantai.
Dakwanya, perkara ini merupakan kepercayaan penganut agama lain di mana gambar berhala patut dihormati. Umat Islam sebaliknya tidak kisah terpijak atau terlangkah imej Kaabah kerana ia sememangnya tidak disembah.
Terdapat 2 Kiblat Pada Mulanya
Umat Islam pasti mengetahui di dalam Masjid Qiblatain mempunyai dua arah kiblat yang saling berhadapan antara satu sama lain.
Salah satu arah kiblat tersebut menghala ke arah Masjid Al-Aqsa (Baitul Maqdis) di Palestin, manakala kiblat kedua menghadap ke Mekah yang terletaknya Kaabah.
Sejarah mengenai pertukaran kiblat ini bermula pada zaman Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah ke Madinah. Pada waktu itu, kiblat umat Islam yang menghala ke arah Baitul Maqdis menyebabkan orang Yahudi sangat gembira dengan perbuatan Rasulullah SAW kerana seolah-olah Baginda meniru kaum Yahudi dan Nasrani dalam beribadah.
Rasulullah SAW lalu berdoa kepada Allah SWT agar kiblat ditukarkan ke arah Baitullah.
Memetik laman Pejabat Mufti Wilayah, selepas 16 bulan hijrah, Rasulullah SAW yang sedang bersolat dengan menghadap Baitul Maqdis menerima wahyu daripada Allah SWT yang menjawab permohonan doa tersebut seraya memerintahkan supaya memindahkan arah kiblat ke Baitullah. Sepertimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”
Surah Al-Baqarah (144)
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.