Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Selain dipenuhi dengan banyak makanan dan minuman yang lazat, barangan yang lebih murah dan kos sara hidup yang tidak terlalu tinggi turut menjadi sebab mengapa pengembara dan ekspatriat memilih untuk tinggal di Malaysia.
Bahkan, keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama juga menjadi faktor mengapa orang luar berasa tenang untuk menetap di negara kita.
Sedar atau tidak, rakyat Malaysia sememangnya bertuah dapat tinggal di negara tercinta ini.
Individu Bandingkan Kos Di Hong Kong Dan Malaysia
Menerusi bebenang dimuat naik oleh seorang pengguna X di akaun @TheFuturitzs), individu ini berkongsi kisahnya ketika berkunjung ke negara Hong Kong selama enam hari.
Namun selepas berada di sana, individu berkenaan meluahkan rasa syukur kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.
Mesti korang pelik kenapa dia tiba-tiba berkata seperti itu? Faktor utamanya adalah dari segi kos sara hidup di sana.
Untuk pengetahuan, Hong Kong merupakan sebuah bandar dengan jurang yang ketara di antara orang kaya dan golongan yang terlampau miskin.
Individu ini sempat berborak dengan rakannya yang merupakan warga Hong Kong ketika sedang makan di sebuah restoran mewah pada 7 September lalu.
Rakyat Hong Kong itu menjelaskan semuanya mahal di negara terbabit dan mendedahkan harga sewa kedai untuk restoran yang menjadi tempat mereka menjamu selera itu adalah dalam anggaran RM550,000 (HK$1 juta) sebulan.
“Bila bayar makanan di Hong Kong, sebahagian besar daripadanya akan digunakan untuk bayar sewa,” kata rakyat Hong Kong itu sendiri.
Terkejut dengan perkara itu, pengguna X ini cuba untuk mendalami dengan lebih lanjut tentang kos sara hidup di Hong Kong.
Kos Menyewa Di Hong Kong
Antara perkara yang dibandingkan adalah mengenai harga sewa rumah.
Bagi sebuah apartmen kecil dengan saiz kurang daripada 400 kaki persegi yang bukan berada di tengah bandar, harga sewa yang dikenakan adalah sekitar RM11,071 sehingga RM16,607 (HK$20,000 hingga HK$30,000) untuk sebulan.
Harga Makanan
Anggaran harga satu hidangan seperti beef noodle, roasted goose rice dan sebagainya adalah berjumlah RM30 hingga RM50 (HK$60 ke HK$80).
Bagi mereka yang mahu makan di kafe, kosnya boleh mencecah RM250 (HK$450) untuk sepinggan pasta, satu pencuci mulut dan dua cawan air.
Gaji Pekerja
Selain itu, gaji median bagi pekerja Hong Kong pula dalam anggaran RM16,200 (HK$29,715) pada suku tahun pertama.
Dengan kos sewa rumah yang mahal, ia sememangnya agak sukar untuk membolehkan graduan yang mahu membayar sewa rumah dengan gaji mereka.
Jurang Kemiskinan Yang Tinggi
Di Hong Kong, 0.001% individu yang berada pada kategori teratas telah menguasai 50% daripada jumlah pendapatan negara.
Peratusan itu menunjukkan ia lebih dua kali ganda berbanding China dan Amerika Syarikat dan parasnya 10 kali ganda di Perancis.
Pengagihan harta tersebut dilihat lebih ke arah kepada golongan kaya sehingga memaksa golongan pertengahan untuk berhijrah.
Tetapi bagi mereka yang terlalu miskin, tiada pilihan yang boleh dibuat selain untuk terus tinggal di dalam rumah yang keluasannya hanyalah sekitar 60 kaki persegi.
Selepas mengetahui kos sara hidup di Hong Kong, lelaki ini berasa sangat bertuah menjadi rakyat Malaysia.
“Walaupun harga rumah dan sewa boleh tahan mahal tapi ia tak sama seperti di Hong Kong dan negara kita pun harga makanan murah juga,” kata pengguna X ini.
I went to Hong Kong for 6 days.
— The Futurizts (@TheFuturizts) September 12, 2024
Here’s why I’m grateful to be a Malaysian .
pic.twitter.com/mHZ8eFnqce
YouTuber Dari Hong Kong Juga Setuju Kos Sara Hidup Di Malaysia Lebih Murah
Sebelum ini, sepasang suami isteri yang berasal dari Hong Kong berkongsi di laman YouTube mengapa mereka mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia.
Mereka yang telah menetap di Pulau Pinang lebih daripada satu tahun itu tidak menyangka kualiti kehidupan di Malaysia adalah lebih baik dari negara asal.
Jelas Raymond, harga sewa rumah di Hong Kong dengan keluasan sekitar 600 kaki persegi adalah RM10,395 (HKD 18,500).
“Kami menyewa di Pulau Pinang dengan rumah seluas 4,800 kaki persegi ia hanya berharga RM2,000 hingga RM4,000. Rumah kami dianggap rumah yang mewah kerana memiliki tiga kotak parkir,” kata Raymond.
Selain itu, mereka turut membandingkan harga minyak dan kos menyelenggara kenderaan yang katanya lebih murah di Malaysia.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] YouTuber Hong Kong Pilih Untuk Tinggal Di Malaysia, Akui Kualiti Hidup Lebih Baik Di Sini
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Raih Tempat Ke-2 Negara Paling Aman Makmur Di Asia Tenggara Untuk 2023
Baca Artikel Berkaitan: Kuala Lumpur Ranks 8th Globally for Expatriates, According to InterNations
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.