Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum, banyak kes buli di kalangan pelajar dilaporkan berlaku di dalam dan luar kawasan sekolah tidak kira umur serta jantina.
Perbuatan buli ini boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor sebagai contoh perselisihan faham, hasad dengki, pengaruh rakan sebaya, pengaruh internet dan banyak lagi.
Walaupun ramai di kalangan pembuli sudah menerima hukuman, namun gejala buli dilihat tidak berkesudahan apabila masih wujud golongan kaki buli. Ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada kesihatan mental mangsa, bahkan dalam sesetengah kes ia juga melibatkan kecederaan fizikal.
Murid Indonesia Dibuli, Dipaksa Makan Roti Berisi Pencungkil Gigi
Baru-baru ini tular satu hantaran di laman Instagram apabila seorang jururawat di Indonesia dikenali sebagai Elyanda Fitria (@elyandaa_) berkongsi satu kisah malang yang menimpa seorang murid perempuan darjah empat yang dibuli oleh rakan sebayanya.
Menurut Elyanda, dia terkejut selepas mendapati terdapat pencungkil gigi jenis plastik berada pada bahagian tekak si kecil sewaktu dibawa ke unit kecemasan hospital.
Tambah jururawat itu, murid berkenaan dipaksa oleh si pelaku untuk makan sekeping roti yang dipenuhi dengan pencungkil gigil tajam.
“Semakin hari kes buli semakin menjadi-jadi. Saya sangat benci pelaku dan mereka yang normalisasikan perkara seperti ini,” ujar Elyanda.
Pencungkil Gigi Berada Dalam Keadaan Melintang Pada Tekak Mangsa
Anak perempuan itu dikatakan menangis kesakitan sewaktu sampai di sana. Pun begitu, dia memberikan kerjasama yang baik kepada Elyanda dan rakan sejawat yang lain untuk mengeluarkan pencungkil berkenaan.
Selepas berusaha dengan berhati-hati, barang berbahaya itu akhirnya berjaya dikeluarkan dari mulut si kecil.
“Duri tu dah hampir nak masuk hujung tekak dalam keadaan melintang, mesti sakit sangat.
“Si adik ni beri kerjasama. Walaupun pada mulanya adik ni menangis, tapi lama-lama kita pujuk dan dengan berhati-hati, akhirnya duri itu berjaya dikeluarkan,” ujar Elyanda menerusi kapsyen perkongsian.
Jururawat Hanya Gunakan Peralatan Yang Ada Di Bilik Kecemasan
Dalam pada itu, Elyanda turut menasihati orang ramai untuk tidak menggunakan peralatan sama yang digunakannya dalam video.
“Jangan gunakan peralatan yang saya gunakan, kerana di bilik kecemasan peralatan adalah terhad, jadi kami menggunakan apa yang ada dan memastikan peralatan itu steril (bebas kuman),” ujar jururawat berkenaan.
Perkongsian ini kemudian mendapat perhatian ramai selepas dimuat naik semula di laman X (Twitter).
Memang sial budak budak membuli ni, bagi makan roti campur dengan duri. Betul betul Keturunan anak iblis pic.twitter.com/rv4ZqRfQb5
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) September 2, 2024
Ramai Berang Dengan Tindakan Pembuli
Menjengah ke ruangan balas, orang ramai dilihat berang dengan tindakan pelaku yang tidak berperikemanusiaan.
“Saya tak boleh nak faham macam mana manusia boleh jadi sangat kejam dan tidak berhati perut,” kata seorang wanita.
Malah ada yang berkata perbuatan si pembuli boleh membawa padah jika perangai itu berterusan hingga sudah meningkat dewasa.
“Jenis macam ni memang psikopat. Kalau dari kecil naluri (membuli) dah macam ni, besar nanti boleh tahu dah macam mana,” ujar seorang lelaki.
Sementara itu, ramai juga berkongsi pengalaman mereka dibuli sewaktu berada di alam persekolahan.
“Dulu aku kena buli dia orang letak cicak dalam baju, botol air dan beg. Bilangan yang sangat banyak. Sebab tu aku trauma dengan cicak, tak takut tapi trauma,” jelas seorang pengguna X.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Buli Siber Esha: Wanita Mengaku Bersalah Keluarkan Kata-Kata Kesat, Didenda RM100
Baca Artikel Berkaitan: Lima Bekas Pelajar Diarah Bayar RM616,634 Kerana Buli Rakan Sekolah Hingga Pekak
Baca Artikel Berkaitan: Murid Perempuan Ditampar ‘Senior’ Dipercayai Gara-gara Cemburu Rapat Dengan Teman Lelaki
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram