Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila berada di sekolah, para pelajar mungkin akan cepat berasa lesu. Mana tidaknya, kadangkala terdapat lebih daripada lima subjek sehari ditetapkan dalam jadual kelas.
Oleh itu, segelintir guru menggunakan taktik unik bagi meningkatkan minat murid untuk kekal semangat belajar.
Sebelum ini, seorang cikgu dari sekolah pedalaman telah menggunakan elaunnya bagi mengubah suai kelas pelajar seperti sebuah kafe.
Jelas cikgu itu, dia sanggup melaburkan wang bagi menyediakan persekitaran kondusif buat anak murid selain meningkatkan tahap keselesaan para pelajar sewaktu berada di sekolah.
Baca Artikel Berkaitan: Usaha Cikgu Pedalaman Guna Elaun Sendiri Deko Kelas Murid Ala Kafe Raih Perhatian
Cikgu Pasang Lagu Popular Untuk Latihan Ujian Mendengar Murid SPM
Idea kreatif guru untuk meningkatkan semangat dan minat para pelajar tidak terhenti di situ sahaja.
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@aishahkzmn) menyaksikan seorang guru dari sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sedang memantau anak murid tingkatan 5 membuat latihan Ujian Mendengar Bahasa Inggeri (UMBI), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kebiasaannya, bahan audio telah pun disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk latihan ujian tersebut. Para murid juga sentiasa menggunakan audio sama bagi membuat latihan di dalam kelas.
Namun lain daripada lain, seorang cikgu wanita dikenali sebagai Teacher Aishah telah menggunakan lagu popular yang sering didengari orang ramai sebagai audio latihan berkenaan.
Lagu yang dipasang oleh Teacher Aishah adalah seperti:
- Fix You – Coldplay
- As It Was – Harry Styles
- Love Yourself – Justin Bieber
Perlu Isi Ruangan Kosong Pada Kertas Dengan Lirik Yang Betul
Tugasan para murid adalah untuk mendengar lirik lagu dengan teliti dan mengisi ruangan kosong di kertas dengan jawapan yang betul.
Menerusi video perkongsian, kelihatan pelajar-pelajar berkenaan sedang fokus mendengar lirik lagu yang dimainkan dari komputer riba. Ada juga di antara mereka yang turut menyanyikan sekali lagu itu sambil membuat latihan.
Latihan tersebut kemudian disudahi dengan sesi karaoke ringkas. Sambil-sambil mereka belajar, dapat juga berseronok walaupun sebentar.
@aishahkzmn Listening lesson, but make it fun #spm2024 #spmlistening ♬ original sound – AishahKzmn
Ramai Yakin Mereka Boleh Dapat Markah Penuh Jika Buat Latihan Yang Sama
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai kagum dengan kaedah pembelajaran moden yang menggunakan lagu untuk latihan ujian mendengar.
“Saya nak tambah baik Bahasa Inggeris pun buat benda yang sama. Cara ni memang bagus dan pelajar pun tak bosan. Tabiklah cikgu,” jelas seorang wanita.
Malah ada beberapa orang guru juga dilihat meluahkan hasrat ingin menggunakan kaedah yang sama bagi mengajar anak murid di kelas.
“Terima kasih sebab kongsi. Boleh cuba cara ni dalam kelas saya,” kata guru tersebut.
Ramai juga berkata mereka mampu mendapat markah penuh bagi sesi latihan berkenaan kerana sudah kerap mendengar lagu-lagu popular yang dipasang.
“Saya boleh dapat markah penuh! Sebab dah hafal semua lagu-lagu tu,” ujar seorang pengguna TikTok.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Guru Tadika Dipuji Anjur Simulasi Ibadah Korban Untuk Ajar Kanak-kanak
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Puji Cara Kreatif Pensyarah Rekod Kehadiran Dengan Minta Pelajar Ambil ‘Selfie’ [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram