Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Orang ramai kini semakin lantang bersuara terutamanya menerusi akaun media sosial. Dalam masa sama, ada juga yang bersembunyi di sebalik avatar palsu untuk merahsiakan identiti diri mereka.
Terbaharu, tiga akaun di laman X dengan nama pengguna @RMalanjum_, @Saythenameay, dan @iamjebatsiderha dipercayai telah disekat di Malaysia.
Menerusi kenyataan pada laman tersebut, akaun berkenaan telah “ditahan di Malaysia sebagai tindak balas kepada sebuah tuntutan undang-undang”.
Akaun Boleh Diakses, Tetapi Kandungan Tidak Dapat Dilihat
Orang ramai masih boleh membuat carian ke atas ketiga-tiga username tersebut dan mengakses akaun mereka.
Walau bagaimanapun, kesemua kandungan dalam setiap akaun, termasuk gambar, tidak dapat dilihat.
Menurut X, platform tersebut boleh ‘menahan’ mana-mana akaun sekiranya mereka “menerima permintaan yang sah dan telah diteliti (properly scoped) daripada entiti yang diberi kuasa”.
Penahanan sedemikian akan tertakluk pada bidang kuasa tertentu yang telah mengeluarkan tuntutan undang-undang yang sah atau di mana kandungan didapati melanggar undang-undang tempatan.
X
Seorang pengguna X, Zuwairi (@md_zuwairi), mendakwa bahawa ketiga-tiga akaun ini ‘ditahan’ kerana tidak membezakan antara fitnah dan kebebasan bersuara.
Namun ada juga yang mendakwa tindakan ini seolah-olah cubaan mengekang kebebasan memberi pandangan.
Akaun Ditahan Akan Terima Emel & Notifikasi
Jika akaun ditahan, anda akan melihat mesej “akaun @username telah ditahan di <negara> sebagai tindak balas kepada sebuah tuntutan undang-undang” terpampang pada profil akaun. Variasi lain mesej tersebut boleh dilihat di sini.
Menurut X, akaun yang ditahan akan menerima emel dan notifikasi di aplikasi tersebut.
Notifikasi tersebut turut menyatakan ‘masalah’ kandungan yang telah dilaporkan atau ditahan dan asal usul permintaan tersebut.
Pengguna yang terjejas boleh memilih untuk mencabar keputusan tersebut jika mempercayai kandungan atau akaun mereka ditahan dengan salah.
Salah Satu Akaun Didakwa Melangar Undang-Undang Negara
Seorang pengguna X telah berkongsi gambar mesej yang diterima oleh @saythenameay berkenaan penahanan akaunnya. Dia dimaklumkan bahawa X telah menerima permintaan tersebut dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
SKMM mendakwa terdapat kandungan yang melanggar pelbagai undang-undang negara termasuk Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.