Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui sekarang merupakan musim buah-buahan di Malaysia.
Ini dapat dilihat apabila banyak peniaga di tepi jalan yang menjual buah bermusim seperti durian, manggis dan rambutan.
Bukan itu sahaja, jika pergi ke kawasan perkampungan, pasti akan ternampak banyak pokok yang sudah penuh dengan buah-buahan ditanam oleh kebanyakan penduduk setempat.
Boleh Ambil Secara Percuma Untuk Siapa Nak Makan
Lazimnya, amat sukar untuk menemui pemilik yang mahu mengizinkan orang lain untuk mengambil buah percuma secara terus dari pokok.
Kebanyakannya pasti akan minta bayaran atau menjualnya kepada orang lain.
Namun, berbeza pula dengan seorang pemilik pokok rambutan apabila dia bermurah hati memberi buah tersebut secara percuma kepada sesiapa yang ingin menikmatinya.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok @amirsyazal, kelihatan dia dan rakan-rakannya memetik buah rambutan dari sebuah pokok.
Ini kerana terdapat kertas yang disertakan dengan nota menyatakan keizinan pemilik pokok rambutan itu.
Apa yang menjadi perhatian adalah pemilik pokok rambutan berkenaan siap menyediakan galah khusus untuk memudahkan orang ramai mengambil atau mengait buah itu.
“Buah free (percuma). Siapa nak makan boleh ambil, galah ada tepi pokok,” tulis nota tersebut.
Melalui video itu, dapat dilihat pengguna TikTok bersama beberapa orang rakannya memetik rambutan terus dari pokok.
Malah, buah rambutan dilihat tumbuh merimbun di pokok tersebut hingga boleh dicapai tanpa perlu menggunakan tangga.
Difahamkan, lokasi pokok rambutan itu terletak di Kampung Guar Jering, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Sikap Murah Hati Pemilik Pokok Dapat Pujian
Video itu nyata menarik perhatian pengguna TikTok. Rata-rata daripada mereka memuji tindakan pemilik pokok berkenaan yang sanggup mengizinkan orang lain untuk mengambil buah rambutan itu secara percuma.
Malah, kerana sikap murah hati pemilik berkenaan ada pengguna yang mendoakan tuan pokok tersebut dimurahkan rezeki.
Namun, ada segelintir pengguna TikTok yang berasa musykil kerana tidak pernah menjumpai tuan rumah sebegini apatah lagi siap meninggalkan nota.
Ada juga yang turut memberi peringatan bahawa buah rambutan tersebut hanya diberi percuma untuk dimakan dan bukan untuk dijual.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Semoga Tuan Pokok Murah Rezeki & Diberi Kesihatan Yang Baik”
“Steady Tuan Pokok, Ambil Hanya Untuk Makan, Ambil Nak Jual Tidak Dibenarkan”
“Pemurah Betul Rezeki Tuan Tanah”
“Kalau Setakat Untuk Makan Tu, Ok Lah, Jangan Pula Untuk Jualan, Rezeki Dikongsi Bersama”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.