Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak kes jenayah yang berlaku tanpa mengira waktu siang atau malam.
Dalam kes terbaharu yang berlaku pada Isnin lalu (3 Jun), seorang lelaki telah bertindak membawa lari sebuah kenderaan jenis Honda City berwarna merah di stesen minyak sekitar Semambu, Kuantan, Pahang.
Lebih membimbangkan lagi, ibu kepada pemilik kereta masih berada di tempat duduk penumpang ketika kereta berkenaan dibawa lari oleh penjenayah.
Baca Artikel Berkaitan: Tak Sampai Beberapa Saat! Kereta Honda City Dibawa Lari Ketika Berhenti Di Stesen Minyak Semambu, Kuantan [Video]
Penumpang Kongsi Detik Kereta Anak Dibawa Lari Penjenayah
Memetik laporan Kosmo, ibu kepada pemilik kereta Honda City itu menceritakan keadaan cemas yang berlaku kepada dirinya semasa insiden terjadi.
Wanita warga emas dikenali sebagai Napisah Muhammad yang berusia 68 tahun itu mengucapkan rasa syukur kerana dia tidak mengalami sebarang kecederan setelah dilepaskan oleh penjenayah kira-kira 400 meter dari stesen minyak terbabit.
Ketika kejadian berlaku, Napisah memberitahu bahawa dia tidak perasan penjenayah memasuki kereta anaknya.
Masa mula-mula mak cik tidak perasan ada lelaki masuk ke dalam kereta kerana mak cik hanya pandang ke arah tandas di stesen minyak. Tiba-tiba seorang lelaki masuk dan duduk di sebelah mak cik (tempat duduk pemandu). Ketika itu mak cik cuba lari, tetapi dia (suspek) pegang mak cik.
Napisah Muhammad.
Semasa mahu cuba untuk melarikan diri, suspek menahan Napisah dan menjerit ‘kau diam’ kepada wanita tersebut.
“Dia pegang bahu mak cik sambil kata ‘kau diam’. Mak cik cuba keluar, tetapi ketika itu dia pecut kereta. Mak cik nampak anak mak cik kejar kereta,” katanya.
Oleh kerana bimbang dibawa lari di kawasan berbahaya, Napisah merayu kepada suspek untuk keluar dari kereta.
Sampai di jalan besar, dia masuk simpang kiri ke kawasan kedai. Semasa kenderaan bergerak, mak cik meronta-ronta dah nak keluar. Dia memperlahankan kereta. Selipar mak cik tercicir di situ.
Napisah Muhammad.
Tidak lama selepas itu, suspek memperlahankan kereta dan menolak warga emas berkenaan keluar dari kereta.
“Lepas itu dia cakap ‘kau nak keluar, kau berambus’. Dia memperlahankan kereta, dia tolak makcik keluar,” kata Napisah.
Namun sebelum keluar dari kenderaan tersebut, Napisah sempat mengambil beg tangan anaknya.
Napisah menjelaskan kes yang berlaku pada jam 3:10 petang itu terjadi ketika dia bersama anak perempuan, 38, dan suaminya berusia 77 tahun berhenti di sebuah stesen minyak untuk mengisi petrol dan untuk ke tandas.
Suspek Curi Kereta Honda City Kini Ditahan Polis
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan bahawa individu yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kereta ini telah ditahan oleh pihak polis di Bentong pada awal pagi hari ini (5 Jun).
Kereta yang dicuri itu juga sudah ditemui semula.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.