Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hari ini (27 Mei) merupakan detik yang paling ditunggu-tunggu oleh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di mana keputusan peperiksaan tersebut telah diumumkan pada 10 pagi tadi.
Seramai 11,713 calon SPM 2023 atau 3.1% memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, angka tersebut menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding tahun sebelum ini iaitu 10,109 calon (2.7%).
Beliau turut memaklumkan bahawa pencapaian calon SPM 2023 adalah lebih baik selepas merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya.
Lebih 10,000 Pelajar Tidak Hadir SPM 2023
Pun begitu, jumlah calon baru SPM 2023 yang tidak menduduki peperiksaan masih berada di tahap yang tinggi iaitu seramai 10,160 daripada 383,685 orang.
Namun jumlah tersebut telah menunjukkan penurunan berbanding pelajar yang tidak hadir (TH) semasa SPM 2022.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) di laman X (Twitter), penurunan sebanyak 1.2% (4,698 calon) tersebut berjaya dicapai hasil intervensi berterusan kementerian berkenaan di setiap peringkat.
“KPM akan meneliti secara terperinci berhubung ketidak hadiran pelajar pada SPM 2023. Perkara ini kita akan ambil langkah intervensi bagi tangani masalah ini,” kata Azman Adnan.
Netizen Kecewa Dengan Sikap Murid Yang Tidak Pentingkan SPM
Pengumuman tersebut telah mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial. Menjengah ke ruangan komen Facebook Harian Metro, ramai berpendapat bahawa calon yang tidak hadir sewaktu peperiksaan dijalankan adalah rugi.
“Kesiannya, rugi tiada sijil SPM. Memang rezeki masing-masing tetapi ilmu itu penting untuk masa akan datang,” kata seorang lelaki.
Ramai juga berpendapat bahawa golongan muda lebih cenderung terpengaruh dengan media sosial sehingga melupakan pelajaran.
“Apabila media sosial keterlaluan mengambil alih dunia. Anak-anak hari ini tidak lagi merasakan semua ini (SPM) satu kepentingan. Kadangkala, kesian mak ayah yang berusaha sekolahkan anak, nak lihat mereka ke hadapan,” luah seorang wanita.
Ada juga individu berpendapat bahawa faktor anak-anak tidak mahu menduduki peperiksaan adalah disebabkan masalah yang berlaku di rumah.
“Semuanya bermula dari rumah. Masalah yang berlaku di rumah boleh menjadi asbab kepada masalah sosial hari ini. Masih belum terlambat untuk kita periksa semula, perbaiki kekurangan yang ada,” jelas seorang warganet.
Sementara itu, ramai juga berfikiran bahawa calon-calon yang tidak hadir berkenaan memasang niat untuk menjadi seorang pempengaruh di media sosial.
Lebih 90% Calon Layak Terima Sijil
Berbicara lebih lanjut mengenai keputusan SPM pada hari ini, KPM memaklumkan bahawa sebanyak 93.5% daripada 349,297 calon layak menerima sijil.
Syarat untuk seseorang calon layak menerima sijil adalah sekurang-kurangnya lulus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Ia telah menunjukkan peningkatan dari 91.6% pada tahun 2022.
Peratus calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang layak mendapat sijil adalah 93.5%.
— KPM (@KemPendidikan) May 27, 2024
Syarat pensijilan SPM menetapkan calon perlu sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.#7TerasKPM#MalaysiaMADANI#PendidikanManusiawi pic.twitter.com/qM4Q0jhCmp
Baca Artikel Berkaitan: 300,000 Lepasan SPM Enggan Sambung Belajar – KSM
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram